Friday, September 26, 2008

Aneka Hidangan Belut

BERBUKA bersama tersayang tidak hanya dilakukan di rumah. Sesekali bertukar lokasi dan mengubah selera bagi menjamu sajian bufet Ramadan tentunya dapat mengeratkan lagi jalinan yang sedia ada.

Di Kelantan Delights yang terletak di KL Sentral, sajian negeri Cik Siti Wan Kembang pasti membuka selera.

Sebaik kaki melangkah ke restoran ini, kelihatan setiap penjuru tempat duduknya penuh dengan pengunjung pelbagai kaum termasuk pelancong asing.

Inilah keistimewaan Kelantan Delights yang mampu menarik pengunjung tidak kira bangsa dan peringkat umur.

"Terdapat kira-kira 100 sajian ditawarkan dengan beberapa tambahan menu utama, antaranya yang mengujakan ialah hidangan belut dalam pelbagai masakan," kata Juhaidi Yean Abdullah selaku pemilik restoran ini.

Menurutnya, terdapat belut goreng cili kering, belut masak lemak daun kaduk atau daun basil, belut masak masam manis dan belut paprik.

"Bagi yang tidak pernah merasa daging belut, buang persepsi buruk anda mengenainya dan cuba menu yang disediakan di sini," ujarnya.

Selain itu, hidangan yang popular sejak dahulu seperti nasi kerabu dengan daging bakar, solok lada dan jeruk bawang serta nasi dagang pastinya mengimbau nostalgia anak rantau kelahiran negeri tersebut.

Kelantan Delights turut menyediakan masakan ikan siakap, kerapu dan patin, makanan laut seperti udang dan sotong, ayam percik, pelbagai jenis kerabu, sayur-sayuran dan banyak lagi.

Terdapat juga laksam belut, nasi ayam herba, nasi budu dan murtabak merbau sebagai pilihan, andainya pengunjung inginkan sesuatu yang lebih ringkas.

Selesai menjamu hidangan utama, pilihlah menu pencuci mulut yang cukup enak dan memikat selera seperti lompat tikam, pulut durian, cendol tapai, pulut mangga, sengkuang Cina kelapa muda dan banyak lagi.

Tidak cukup dengan itu, 'pekena' pula kopi 'karing' yang pastinya memuaskan hati penggemar kopi.

Dengan menjanjikan sajian enak, tempat selesa dan harga berpatutan, kunjungan ke Kelantan Delights pasti tidak akan menghampakan.
top